Apakah itu Hari Nakbah?
NAKBAH bermaksud malapetaka, bencana besar dan kecelakaan. Nakbah Palestin merujuk kepada peristiwa orang-orang Yahudi kembali ke bumi Jerusalem secara beramai-ramai dan tertegaknya negara haram Zionis Israel di Palestin yang diisytiharkan pada 15 Mei 1948 serta diikitiraf oleh Amerika Syarikat.
15 Mei 2013 ini genaplah ulangtahun peristiwa Nakbah yang ke 65. Peristiwa Nakbah secara rasminya diingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia merujuk kepada pengisytiharan Negara haram Israel pada 15 Mei dan disambut di Israel sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel setelah mereka memenangi peperangan yang mereka dakwa sebagai ‘The War of Independence’ (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan).
Tertubuhnya Negara Haram Israel pada tahun 1948 juga merupakan petanda besar kepada kemusnahan dunia. Kembalinya golongan Yahudi ke bumi suci ini juga merupakan derita tangis ke atas umat Islam yang belum bernoktah sehingga ke hari ini. Orang-orang Yahudi dihalau oleh Allah SWT 2000 tahun yang lampau akibat perbuatan mereka membunuh para Nabi AS, membuat kerosakan di muka bumi serta mengingkari perintah daripada Allah SWT.
Hakikatnya ialah mereka merampas negara Palestin dengan mengusir penduduk Arab dari tanah air mereka. Akibat dari keganasan oleh beberapa kumpulan bersenjata Yahudi Zionis, 800,000 rakyat Palestin terpaksa menyelamatkan diri dengan meninggalkan kampung halaman dan berlindung di Syria, Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza.
Kini setelah 65 tahun peristiwa ini berlaku, dianggarkan 6 juta pelarian yang sebahagian besarnya merupakan generasi kedua dan ketiga yang tidak pernah menjejakkan kaki di tanah air mereka. Ini bererti mereka telah menunggu selama 65 tahun untuk pulang ke Palestin. Jika Nelson Mandela diraikan sebagai pahlawan kemanusiaan terulung kerana sanggup dipenjarakan selama 30 tahun demi membebaskan bangsa kulit hitam Afrika Selatan dari sistem Apartheid, maka rakyat Palestin yang menghuni kem-kem pelarian sejak 65 tahun lalu lebih wajar dinobatkan sebagai pahlawan hak asasi yang tidak pernah mengenal erti putus asa.
Biar sehebat mana pun perancangan musuh Allah untuk menghancurkan Islam, dan biar sehebat mana pun ujian dan fitnah yang menimpa muslimin pada hari ini, jangan sesekali kita lupa bergantung harap pada Allah SWT. Kerana Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya. Semoga usaha, pengorbanan, darah kita menjadi saksi di akhirat kelak bahawasanya inilah buktinya kasih dan cintanya kita pada agama suci ini.
#JANGAN PERNAH MELUPAKAN PALESTIN DALAM DOAMU#
#JANGAN PERNAH MELUPAKAN PALESTIN DALAM DOAMU#
Tiada ulasan:
Catat Ulasan